Wednesday, April 22, 2009

Jawablah!: 'Bersihkan kembali nama saya'

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Sarimah Ibrahim kecewa acara amal bertukar kontroversi gara-gara sikap cepat melatah seorang individu

NIATNYA hanyalah satu iaitu untuk melakukan kerja amal. Namun cerita lain pula yang timbul apabila acara kebajikan yang dianjurkannya baru-baru ini menjadi punca tercetusnya 'perang dingin' akibat sikap tidak profesional seorang individu yang ada kaitan dengan industri hiburan tanah air.

Khabarnya, kontroversi ini timbul disebabkan individu terbabit memungkiri janjinya sendiri iaitu apabila dia dan anak didiknya tidak muncul dalam acara amal yang dianjurkan pengacara Akademi Fantasia 7, Sarimah Ibrahim tanpa alasan yang konkrit.


Bukan niat untuk membuka pekung di dada atau menuding jari kepada sesiapa tetapi apa yang dikesalkan Sarimah, akibat kegagalan individu berkenaan menjelaskan alasan sebenar ketidakhadirannya serta lekas melatah apabila diprovokasi, membuatkan cerita yang sepatutnya tersimpan rapi akhirnya menjadi buah mulut ramai.

Justeru, tidak mahu acara perkara ini berlanjutan, Sarimah ketika dihubungi Hip lewat malam kelmarin terpaksa bangkit memberikan penjelasan biarpun dia menyedari perbuatannya itu sebenarnya akan memberi persepsi negatif terhadap acara amal berkenaan.

Hip: Khabarnya betulkah Sarimah naik angin dengan seseorang yang khabarnya tidak hadir dalam acara amal yang dianjurkan baru-baru ini.

Sarimah: Saya tidak pernah naik angin atau marah mana-mana pihak yang tidak dapat hadir pada acara berkenaan kerana saya tahu ada di antara mereka yang mungkin mempunyai alasan tersendiri apabila mereka memilih untuk menarik diri untuk acara itu. Di sini saya juga ingin jelaskan bahawa sebelum acara amal itu berlangsung, saya ada menerima mesej dari beberapa pihak yang diundang

menyatakan yang mereka tidak dapat datang, cuma waktu pemberitahuan itu adalah berbeza. Ada yang memaklumkannya sehari sebelum, ada yang memberitahunya pada waktu pagi sebelum acara bermula manakala ada juga yang menarik diri di saat akhir. Sebagai penganjur, sudah tentu saya akan ditanya beberapa pihak mengapa wajah mereka yang sebelum ini berjanji untuk menghadirkan diri tak nampak langsung batang hidungnya. Apabila orang bertanya, sudah tentulah saya memberikan alasan berdasarkan apa yang dimaklumkan kepada saya. Tetapi nampaknya, ada individu yang merasakan saya cuba memburukkannya tanpa mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Tanpa sebarang usul periksa, dia menuduh saya yang bukan-bukan sehingga mengeluarkan beberapa kenyataan yang saya sendiri terkejut mendengarnya. Pada saya, individu itu sepatutnya menyiasat terlebih dulu ataupun bertanyakan terus kepada saya apa yang berlaku. Ini tidak, sikapnya yang cepat melatah membuatkan keadaan menjadi buruk dan secara tidak langsung, mencalarkan acara amal yang saya anjurkan dengan cerita yang tidak sedap didengar.

Hip: Sarimah kesal dengan apa yang berlaku?

Sarimah:
Sudah tentu kerana untuk pengetahuan anda, saya seboleh mungkin tidak mahu acara amal itu diketahui orang terutama media kerana saya tidak mahu orang menyangka saya buat amal hanya untuk publisiti. Itulah sebabnya mengapa acara ini tidak mendapat liputan meluas dalam mana-mana media. Namun apa yang saya harapkan nampaknya bertukar menjadi lebih buruk apabila cerita seperti ini tersebar sehingga dihidu media. Saya akui saya memang sedih, kecewa, terkilan dengan perkara ini kerana ia berpunca daripada kesilapan mereka sendiri yang tidak mahu bercakap benar dan apabila tembelang mereka terbongkar, lalu mereka cuba menutupnya dengan mencari kesalahan orang lain. Perbuatan seperti itu tidak sepatutnya berlaku. Jika mereka menggali lubang jangan cuba mengheret orang lain untuk masuk ke dalam lubang itu. Sepatutnya dari awal lagi dia harus menghubungi saya untuk mendapatkan gambaran sebenar dan bukannya bermain serkap jarang sehingga mencetuskan kontroversi yang memualkan.

Hip: Apa tindakan Sarimah untuk membersihkan nama yang sudah tercalar?

Sarimah:
Saya bukanlah seorang yang suka memanjangkan cerita yang tidak berfaedah seperti ini. Kalau boleh saya mahu kontroversi ini tamat di sini juga. Malah, individu itu sendiri ada berjumpa dengan saya meminta supaya perkara ini tidak dipanjangkan. Bagaimanapun, kata orang, berani buat beranilah tanggung. Saya tidak menuntut atau mengharapkan apa-apa cuma saya sekadar inginkan keadilan iaitu bersihkan kembali nama saya yang sudah tercemar. Dan yang lebih penting bagi saya, jadikan peristiwa ini sebagai satu pengajaran dan dia patut sedar kesan serta impak atas perbuatannya itu. Dia juga harus tahu bahawa akibat sikapnya itu, banyak pihak yang terluka terutama mereka yang terbabit secara langsung dalam acara amal ini kerana tidak semena-mena acara yang sepatutnya dipenuhi dengan keikhlasan dan kegembiraan dicacatkan dengan isu bodoh yang tidak menguntungkan sesiapa.

Hip: Bagaimana pula dengan isu ada pihak yang cuba jaja nama Sarimah untuk mendapatkan keistimewaan. Sebagai contoh menyamar menjadi pengurus?

Sarimah:
Ya saya ada baca artikel dalam akhbar itu dan saya setuju dengan apa yang ditulisnya. Walaupun saya sendiri tidak tahu jika perkara itu sebenarnya pernah berlaku ataupun tidak, tapi saya harap ia tidak berlaku kerana saya memang tidak pernah diuruskan sesiapa. Buat masa ini, semua perihal kerjaya saya uruskan sendiri.

Hip: Terlanjur bercakap mengenai pengurus, apakah benar Sarimah akan bernaung di bawah pengurusan Artites United Records and Management (AUR) di bawah pengurusan Vernon Kedit seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini?

Sarimah:
Soal itu sebenarnya masih lagi dalam perbincangan. Kontrak pun belum saya

tandatangani kerana buat masa ini peguam saya sedang meneliti isi kandung kontrak berkenaan. Lagipun tak perlu nak terburu-buru. Saya pun tidak terdesak sangat untuk mencari pengurus kerana sepanjang hampir 13 tahun saya menceburkan diri dalam bidang ini, semuanya saya urus sendiri. Cuma saya tak nafikan, antara sebab saya merasakan yang saya perlu ada seorang pengurus ialah apabila saya perlu berdepan dengan situasi seperti ini. Sekurang-kurangnya adalah pihak yang akan menjawab bagi pihak saya. Tengoklah, nanti, mungkin selepas berakhirnya AF nanti baru saya dan Vernon akan duduk berbincang mengenai soal ini.

No comments:

Post a Comment