Wednesday, April 22, 2009

Protes cara Maya



Maya Karin

Pemenang Pelakon Wanita Popular ABPBH 2008 gembira projek impian jadi kenyataan

TIGA tahun lalu iaitu sebelum diberi kepercayaan untuk menyandang gelaran Duta Alam Sekitar, pelakon, penyanyi dan model jelita, Maya Karin pernah memasang angan-angan untuk menganjurkan sebuah program iaitu kempen Anti Beg Plastik sebagai tanda protes terhadap aktiviti yang mampu menjejaskan kualiti alam sekitar.

Namun disebabkan kesibukannya, hasrat murni itu terpaksa ditangguhkan seketika bagi memberi laluan kepada Maya untuk terus fokus kepada bidang seni yang amat dicintainya itu. Pun begitu, jauh di sudut hati, Maya percaya bahawa suatu hari nanti apa yang dihajati bakal menjadi kenyataan.


Doa serta harapan Maya itu akhirnya dijawab Tuhan apabila kempen Anti Beg Plastik yang diusahakannya sejak beberapa bulan lalu membuahkan hasil dengan berlangsungnya sebuah acara yang cukup meriah di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pagi Sabtu lalu.

Biar sang suria tegak di atas kepala, biar peluh membasahi wajah jelitanya namun bagi ‘pontianak jelita’ ini tidak ada perkara yang lebih menggembirakan selain melihat program yang dihasilkan atas inisiatif dirinya bersama pengurusnya, Azlin Abas berlangsung dengan jayanya.

"Sudah lama saya impikan untuk menganjurkan kempen ini iaitu sejak tiga tahun lalu namun baru hari ini segala yang saya cita-citakan itu dimakbulkan Tuhan. Bayangkan dalam masa yang singkat, kami terpaksa menguruskan pelbagai perkara yang berkaitan untuk menjayakan acara ini.

MAYA sempat beramah mesra bersama pelajar yang terbabit kempen Antibeg Plastik.

"Selain kekurangan tenaga kerja, pelbagai dugaan terpaksa kami berdua tempuhi. Sebagai contoh pada awalnya, kami bercadang untuk mengundang sekolah rendah di Kuala Lumpur, namun disebabkan tidak mendapat sokongan maka kami menukarnya kepada sekolah rendah di kawasan Selangor.

'Mujurlah tiga sekolah ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Selangor (Subang Jaya), SK Tun Hussien Onn 2 (Cheras) dan SK Taming Jaya (Seri kembangan) bersetuju untuk terbabit dalam acara ini. Sokongan yang ditunjukkan oleh keseluruhan 4,000 murid ini amat saya hargai," ujar Maya ketika ditemui pada sidang media.

Penat membuat persediaan untuk acara yang julung kali diadakan itu bagaikan tidak terasa buat Maya sebaik saja melihat sambutan yang ditunjukkan murid serta kakitangan tiga sekolah berkenaan.

"Sebagai tugasan untuk menjayakan kempen ini, pelajar perlulah mengumpulkan beg plastik dan setiap mereka membentuk plastik berkenaan menjadi sebiji bola besar. Sepanjang tiga minggu membuat persediaan, saya perlu berulang alik ke sekolah dan saya bangga melihat betapa seriusnya pelajar berkenaan mengumpulkan plastik semata-mata untuk menjayakan kempen ini.

"Secara tidak langsung, usaha itu diharap dapat memberi kesedaran kepada mereka, keluarga dan masyarakat umum bahawa betapa bahan plastik sebenarnya membawa mudarat kepada alam sekitar sekali gus mengancam hidupan lain yang ada di dunia ini," tegas Maya yang bakal muncul dengan filem terbaru berjudul Pisau Cukur ini.

Mungkin ada yang skeptikal dengan usaha pelakon yang baru saja memenangi anugerah Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 ini dan menganggapnya ia sebagai gimik semata-mata. Bagaimanapun pendapat nakal itu segera disangkal Maya sambil menekankan bahawa gaya hidup yang cintakan bumi sudah lama dipraktikkan sejak belum bergelar artis lagi.

"Jika saya keluar membeli belah, saya akan membawa beg sendiri. Malah, di rumah saya sendiri penggunaan beg plastik agak kurang. Dan kalau saya memandu, saya lebih senang memandu dengan perlahan bagi mengurangkan penggunaan minyak yang banyak.

"Bukan saya saja yang mengamalkan cara hidup sebegitu tetapi suami saya juga. Cuma kalau hendak dibandingkan, orang Jerman lebih dulu mempraktikkan gaya hidup seperti ini berbanding orang Inggeris seperti dia.

"Cuma kadang-kadang ada juga yang dia tak ikut membuatkan saya terpaksa berleter," seloroh Maya sambil menekankan bahawa betapa pentingnya rakyat Malaysia didedahkan dengan amalan mengasingkan sampah mengikut kategori, plastik, kaca dan kertas.

Program yang berlangsung sejak jam 8 pagi itu berjaya mengumpulkan plastik seberat 100 kilogram yang panjangnya menyamai hampir 7.5 kilometer sebelum dibawa ke pusat pelupusan sampah.

Kembali rakam album

SEBELUM ini dia pernah menghasilkan dua buah album iaitu Erti Cinta dan Bukan Qalamaya. Dan selepas itu, Maya bagaikan merajuk apabila dia lebih banyak menumpukan perhatian terhadap bidang lakonan.

Pun begitu, menurut Maya kehilangannya dalam dunia nyanyian bukanlah disebabkan merajuk tetapi disebabkan tawaran yang mencurah-curah yang diterimanya dalam dunia lakonan ditambah ditawarkan watak yang amat diidamkan membuatkan dia tidak dapat menolak untuk terus aktif di layar perak dan layar kaca.

Hanya selepas bernaung di bawah syarikat Satu Entertainment Sdn Bhd barulah Maya rasakan sudah tiba masanya untuk dia kembali mengasah suara dan menjenguk kembali ruang lingkup seni yang ditinggalkannya suatu waktu dulu.

"Selepas program kempen ini tamat, saya akan pergi bercuti. Dan selepas itu barulah saya kembali masuk studio untuk merakamkan suara. Tak sabar untuk merakamkan lagu bersama Audi Mok yang juga penerbit untuk album ini," ujar Maya dalam nada teruja.

Bakal kembali kepada konsep pop, Maya mengharapkan peminat setianya akan sabar menunggu kehadiran album ketiganya ini. Mengenai tawaran berlakon, duta Nescafe ini berkata dia masih menerimanya.

"Bagaimanapun kebanyakan produksi terbabit terpaksa menangguhkan penggambaran atas alasan kegawatan dan sebagainya. Jadi saya terpaksa menunggu," ungkap Maya sambil mengukir segaris senyuman manis.

Jawablah!: 'Bersihkan kembali nama saya'

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Sarimah Ibrahim kecewa acara amal bertukar kontroversi gara-gara sikap cepat melatah seorang individu

NIATNYA hanyalah satu iaitu untuk melakukan kerja amal. Namun cerita lain pula yang timbul apabila acara kebajikan yang dianjurkannya baru-baru ini menjadi punca tercetusnya 'perang dingin' akibat sikap tidak profesional seorang individu yang ada kaitan dengan industri hiburan tanah air.

Khabarnya, kontroversi ini timbul disebabkan individu terbabit memungkiri janjinya sendiri iaitu apabila dia dan anak didiknya tidak muncul dalam acara amal yang dianjurkan pengacara Akademi Fantasia 7, Sarimah Ibrahim tanpa alasan yang konkrit.


Bukan niat untuk membuka pekung di dada atau menuding jari kepada sesiapa tetapi apa yang dikesalkan Sarimah, akibat kegagalan individu berkenaan menjelaskan alasan sebenar ketidakhadirannya serta lekas melatah apabila diprovokasi, membuatkan cerita yang sepatutnya tersimpan rapi akhirnya menjadi buah mulut ramai.

Justeru, tidak mahu acara perkara ini berlanjutan, Sarimah ketika dihubungi Hip lewat malam kelmarin terpaksa bangkit memberikan penjelasan biarpun dia menyedari perbuatannya itu sebenarnya akan memberi persepsi negatif terhadap acara amal berkenaan.

Hip: Khabarnya betulkah Sarimah naik angin dengan seseorang yang khabarnya tidak hadir dalam acara amal yang dianjurkan baru-baru ini.

Sarimah: Saya tidak pernah naik angin atau marah mana-mana pihak yang tidak dapat hadir pada acara berkenaan kerana saya tahu ada di antara mereka yang mungkin mempunyai alasan tersendiri apabila mereka memilih untuk menarik diri untuk acara itu. Di sini saya juga ingin jelaskan bahawa sebelum acara amal itu berlangsung, saya ada menerima mesej dari beberapa pihak yang diundang

menyatakan yang mereka tidak dapat datang, cuma waktu pemberitahuan itu adalah berbeza. Ada yang memaklumkannya sehari sebelum, ada yang memberitahunya pada waktu pagi sebelum acara bermula manakala ada juga yang menarik diri di saat akhir. Sebagai penganjur, sudah tentu saya akan ditanya beberapa pihak mengapa wajah mereka yang sebelum ini berjanji untuk menghadirkan diri tak nampak langsung batang hidungnya. Apabila orang bertanya, sudah tentulah saya memberikan alasan berdasarkan apa yang dimaklumkan kepada saya. Tetapi nampaknya, ada individu yang merasakan saya cuba memburukkannya tanpa mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Tanpa sebarang usul periksa, dia menuduh saya yang bukan-bukan sehingga mengeluarkan beberapa kenyataan yang saya sendiri terkejut mendengarnya. Pada saya, individu itu sepatutnya menyiasat terlebih dulu ataupun bertanyakan terus kepada saya apa yang berlaku. Ini tidak, sikapnya yang cepat melatah membuatkan keadaan menjadi buruk dan secara tidak langsung, mencalarkan acara amal yang saya anjurkan dengan cerita yang tidak sedap didengar.

Hip: Sarimah kesal dengan apa yang berlaku?

Sarimah:
Sudah tentu kerana untuk pengetahuan anda, saya seboleh mungkin tidak mahu acara amal itu diketahui orang terutama media kerana saya tidak mahu orang menyangka saya buat amal hanya untuk publisiti. Itulah sebabnya mengapa acara ini tidak mendapat liputan meluas dalam mana-mana media. Namun apa yang saya harapkan nampaknya bertukar menjadi lebih buruk apabila cerita seperti ini tersebar sehingga dihidu media. Saya akui saya memang sedih, kecewa, terkilan dengan perkara ini kerana ia berpunca daripada kesilapan mereka sendiri yang tidak mahu bercakap benar dan apabila tembelang mereka terbongkar, lalu mereka cuba menutupnya dengan mencari kesalahan orang lain. Perbuatan seperti itu tidak sepatutnya berlaku. Jika mereka menggali lubang jangan cuba mengheret orang lain untuk masuk ke dalam lubang itu. Sepatutnya dari awal lagi dia harus menghubungi saya untuk mendapatkan gambaran sebenar dan bukannya bermain serkap jarang sehingga mencetuskan kontroversi yang memualkan.

Hip: Apa tindakan Sarimah untuk membersihkan nama yang sudah tercalar?

Sarimah:
Saya bukanlah seorang yang suka memanjangkan cerita yang tidak berfaedah seperti ini. Kalau boleh saya mahu kontroversi ini tamat di sini juga. Malah, individu itu sendiri ada berjumpa dengan saya meminta supaya perkara ini tidak dipanjangkan. Bagaimanapun, kata orang, berani buat beranilah tanggung. Saya tidak menuntut atau mengharapkan apa-apa cuma saya sekadar inginkan keadilan iaitu bersihkan kembali nama saya yang sudah tercemar. Dan yang lebih penting bagi saya, jadikan peristiwa ini sebagai satu pengajaran dan dia patut sedar kesan serta impak atas perbuatannya itu. Dia juga harus tahu bahawa akibat sikapnya itu, banyak pihak yang terluka terutama mereka yang terbabit secara langsung dalam acara amal ini kerana tidak semena-mena acara yang sepatutnya dipenuhi dengan keikhlasan dan kegembiraan dicacatkan dengan isu bodoh yang tidak menguntungkan sesiapa.

Hip: Bagaimana pula dengan isu ada pihak yang cuba jaja nama Sarimah untuk mendapatkan keistimewaan. Sebagai contoh menyamar menjadi pengurus?

Sarimah:
Ya saya ada baca artikel dalam akhbar itu dan saya setuju dengan apa yang ditulisnya. Walaupun saya sendiri tidak tahu jika perkara itu sebenarnya pernah berlaku ataupun tidak, tapi saya harap ia tidak berlaku kerana saya memang tidak pernah diuruskan sesiapa. Buat masa ini, semua perihal kerjaya saya uruskan sendiri.

Hip: Terlanjur bercakap mengenai pengurus, apakah benar Sarimah akan bernaung di bawah pengurusan Artites United Records and Management (AUR) di bawah pengurusan Vernon Kedit seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini?

Sarimah:
Soal itu sebenarnya masih lagi dalam perbincangan. Kontrak pun belum saya

tandatangani kerana buat masa ini peguam saya sedang meneliti isi kandung kontrak berkenaan. Lagipun tak perlu nak terburu-buru. Saya pun tidak terdesak sangat untuk mencari pengurus kerana sepanjang hampir 13 tahun saya menceburkan diri dalam bidang ini, semuanya saya urus sendiri. Cuma saya tak nafikan, antara sebab saya merasakan yang saya perlu ada seorang pengurus ialah apabila saya perlu berdepan dengan situasi seperti ini. Sekurang-kurangnya adalah pihak yang akan menjawab bagi pihak saya. Tengoklah, nanti, mungkin selepas berakhirnya AF nanti baru saya dan Vernon akan duduk berbincang mengenai soal ini.

Cukup berbaloi



JULFEKAR begitu tekun memberi arahan kepada penyanyi BIBH sambil dibantu jurutera rakaman, Jay Wow.

Finalis Bintang Idola Berita Harian yang dicungkil ketika jelajah promosi ABPBH bakal keluarkan single tidak lama lagi

DULU mereka hanya insan biasa yang tak pernah mengenal erti jemu mengasah bakat seni yang ada, yang tak gentar bersaing mempertaruhkan alunan vokal kurniaan Ilahi dalam usaha merebut tempat dan gelaran di dalam sesebuah pertandingan nyanyian.

Hakikatnya, finalis Bintang Idola Berita Harian (BIBH) ini pernah mencuba nasib menyertai pelbagai program nyanyian termasuklah program realiti popular seperti Akademi Fantasia, Gang Starz, Bintang RTM dan One In A Million.


Jauh sekali berputus asa dan pantang berundur sebelum mencipta kejayaan, dunia nyanyian kini semakin sebati dalam hidup mereka. Kini, impian mereka bukan lagi dongeng atau hanya omong kosong semata-mata kerana penat lelah selama ini memberi hasil yang cukup berbaloi .

Bagai sebuah rahmat dan rezeki terpijak, platform BIBH menjadi sandaran bermakna hingga mampu memberi keajaiban sekelip mata. Sedar atau tidak, lapan finalis BIBH termasuk juaranya, Nazatul Farahin Mohd Hussin kini dalam misi merentas onak duri bergelar artis.

Berkat menyertai BIBH, sokongan Berita Harian dan kesungguhan Millenium Art Sdn Bhd (MASB) milik komposer Julfekar, mereka sudah diberi single setiap seorang. Begitulah kalau sudah rezeki tak akan ke mana.



Kata Julfekar, lagu yang diberikan kepada mereka baru saja dihasilkan dalam tempoh dua minggu lalu dibantu beberapa penulis lirik.

Baginya artis BIBH berbakat besar, malah tidak keterlaluan ada yang lebih hebat berbanding bintang program realiti lain. Mereka kini adalah artis naungan MASB terdiri daripada bakat semuda 15 tahun hinggalah ke usia 27 tahun dan angka itu dilihat masih sesuai untuk menyahut cabaran bergelar penyanyi arus perdana.

"Album kompilasi ini dijangka memuatkan lapan buah lagu dan buat peringkat awal (praproduksi), syarikat saya laburkan wang untuk mereka membiasakan dengan lagu yang diberi seperti apa yang dilakukan hari ini (ketika fotografi ini dijalankan).

"Insya-Allah selepas ABPBH ini proses rakaman menyeluruh akan diadakan dan album ini besar kemungkinan berada di pasaran sekitar Mei depan. Setiap lagu yang diberi lapan finalis berdasarkan kesesuaian karakter, perwatakan dan bentuk vokal masing-masing," kata Julfekar ketika ditemui di Studio One Zero One, Petaling Jaya awal minggu ini.

Gambar (atas); IRWAN menerima sokongan isteri dan anak-anak. (bawah); Nurlida Ab Rahman.

Ketika fotografi dan rakaman single, cuma Syaifaana Mohamed Subri saja yang tidak hadir kerana masalah peribadi. Lalu, kesempatan yang diberikan kepada Nazatul, Nurlida Ab Raman, Muhamad Zaki Zainal, Muhammad Irwan Othman dan Mohamad Syahrul dimanfaat sebaik mungkin.

Tak ketinggalan hadir ialah naib juara BIBH, Nurul Syazwanie Mohd Basri dan Faralyna Mohamad, pemenang ketiga. Turut sama memberi sokongan ialah ahli keluarga mereka yang begitu teruja melihat si anak buat julung kali merakamkan lagu di studio dibantu jurutera rakaman, Jay Wow. Artis baru Julfekar, Heela pun turut hadir memberi sokongan.

Bagi Muhammad Irwan Othman, kehadiran keluarga mentua, isteri tercinta, Nor Ain Johari dan dua anak tersayang, Muhammad Danish Irfan, 3 dan Muhammad Danish Iqram, 3 bulan memberi semangat berganda kepadanya. Memilih untuk berkahwin di usia 20 tahun, bapa muda berusia 24 tahun ini tidak melihat status dirinya sebagai penghalang.

"Saya yakin peminat dan masyarakat sekarang lebih terbuka dan tidak menjadikan status perkahwinan sebagai alasan untuk tidak meminati golongan selebriti. Idola saya, Faizal Tahir membuktikan apa yang saya katakan tadi dan boleh berjaya mencipta fenomena.

"Tak mustahil, saya boleh mencapai tahap seperti diiringi usaha, nasib dan rezeki. Saya harus berterima kasih kepada Berita Harian dan Julfekar kerana membantu saya merealisasikan impian selama ini," kata Irwan yang menerima lagu berjudul Hanya Sahabat berentak pop rock sebagai single pertamanya.

Rasa bagaikan bermimpi

BINTANG Idola Berita Harian, Nazatul masih seperti berada di alam mimpi apabila menerima ganjaran cukup lumayan kerana selain merakamkan single genre pop berjudul Suara Rindu, gadis berusia 20 tahun dan berasal dari Sungai Petani itu berpeluang untuk membuat persembahan di malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 pada 12 April lalu.

"Memang saya tak pernah mimpi semua ini. Bukan saja dapat membuat persembahan pada malam kemuncak anugerah berprestij Berita Harian tetapi berpeluang menggayakan rekaan pereka tersohor Calvin Thoo. Saya juga bergandingan dengan dua penyampai radio Hot FM, Kieran dan AG sebagai penyampai trofi," katanya yang beruntung mendapat tunjuk ajar Julfekar.

Mengenai hala tujunya selepas ini, kata Nazatul perlu berdepan dengan pelbagai pancaroba dunia seni. Selain mahu mengembangkan bakat yang ada, Nazatul berharap kehadirannya dapat memeriahkan liga seni.

"Banyak persaingan di luar sana dan tersilap langkah saya tahu ia akan menjerat diri. Banyak benda yang perlu saya pelajari dan pelihara termasuklah soal penampilan dan imej. Begitu juga cara perhubungan awam dan berdepan dengan pihak media serta orang ramai. Mungkin juga saya perlu mempertimbangkan cadangan untuk memakai pendakap gigi," katanya yang sering dipanggil Fara di kampung halamannya.

Manakala juara BIBH Zon Utara, Nurlida Ab Raman, 27, tidak akan menjadi alasan bertudung untuk menoktahkan perjuangannya sebagai penyanyi. Baru saja menjawat jawatan tetap sebagai Pembantu Tadbir Rendah Majlis Perbandaran Seberang Perai, Pulau Pinang, anak kelahiran Taman Tun Sardon ini diserahkan lagu berjudul Jauh Di Mata berentak rancak bersesuaian dengan tona vokal serak-serak basahnya.

"Saya mula bertudung sejak tahun lalu dan apa yang dilakukan atas tuntutan agama. Bertudung bukan satu masalah kerana ia bertitik tolak kepada niat saya sebenarnya untuk terus pergi jauh sebagai penyanyi. Begitu juga dengan usia, ia hanyalah nombor dan lihat saja Jaclyn Victor membikin album pun di usia saya.

"Rozita Che Wan dikenali pun di usia yang agak lanjut, namun rezeki yang tertulis atas kehendak-Nya. Mungkin juga rezeki saya datang ketika ini dan saya tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Peluang ini mungkin datang sekali dalam seumur hidup. Saya harap dapat melangkah penuh bergaya memberi variasi kepada industri seni negara kita," katanya yang pernah mendapat tempat ketiga Bintang RTM 2005 dan Naib Juara Bintang Klasik RTM 2006.

Nurul Syazwanie menerima single berjudul Tak Terkata, Faralyna (Mama Marah), Syahrul (Peri Bintang), Zaki (Tak Perlu Dijelaskan) dan Syaifaana (Selamat Jalan). Pastinya kehadiran single masing-masing itu membuatkan mereka tersenyum sepanjang masa dan membayangkan pacuan kerjaya yang harapnya akan memberi sinar.

Moga langkah yang disusun indah itu akan memberi impak kepada persada seni yang begitu dahagakan fenomena baru. Tidak mahu hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam, harapnya kehadiran bakat baru ini akan terus menjadi realiti dan tidak sekadar angan kosong.

Sunday, April 19, 2009

Diana Danielle Dapat Pelepasan Hadir ABPBH 2009 -PLKN

Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) memberikan lampu hijau kepada pelatih selebriti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Diana Danielle, 18, atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Lee Beeson (gambar) untuk menghadiri Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 pada 12 April ini.

Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil ketika dihubungi memberitahu, Timbalan Penghulu Wirawati Kem Princess Haliza, Sungai Pelek itu diberi pelepasan selama dua hari berdasarkan surat permohonan yang diterima daripada keluarga Diana dan pihak penganjur majlis itu.

“Diana diberikan pelepasan pada Sabtu dan Ahad ini sahaja, selepas itu dia perlu balik semula ke kem pada pagi 13 April.

“Perkara ini bukan luar biasa dan bukannya juga keistimewaan kerana ia prosedur yang diamalkan di semua kem PLKN di seluruh negara.

“Kita berikan pelepasan kerana kita tidak adakan latihan pada Sabtu dan Ahad

Gambar Aidil Zafuan Dipukul, Diterajang Halim Napi - Negeri Sembilan Vs Kelantan

Wednesday, April 8, 2009 19:14
Posted in category personal

“SAYA hormati Halim (Napi) sebagai seorang pemain senior tapi saya tidak faham mengapa dia tergamak bertindak demikian kepada saya,” kata Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Mengakui dirinya masih trauma gara-gara diserang dan dipijak oleh penjaga gol Kelantan itu, Aidil, 23, turut tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Halim kerana tidak mahu perkara seperti itu berulang lagi.

“Kesan dipijak masih dapat dilihat sehingga kini. Saya akan berbincang dengan keluarga dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mengenai kemungkinan mengambil tindakan perundangan.

“Jika perlu saya akan melakukannya kerana saya tidak mahu ia berulang lagi dan ini juga bukan kali pertama Halim bertindak ganas.

“Keadaan huru-hara di luar stadium semalam (kelmarin) mungkin tidak akan berlaku jika Halim tidak menyerang saya, kerana bagi saya tindakannya itu menyemarakkan lagi kemarahan penyokong Kelantan yang kecewa dengan kekalahan itu,” kata Aidil.

Dalam insiden di Stadium Sultan Mohamed ke-IV pada pertemuan separuh akhir pertama Piala FA kelmarin, Halim dikatakan meluru ke arah Aidil lalu menumbuk dan memijaknya sebaik tamat perlawanan dan kekecohan itu terbawa-bawa kepada penyokong tuan rumah yang menterbalikan dan membakar sebuah kenderaan polis selain cermin beberapa kereta turut dipecahkan.

ANTARA KES BABITKAN HALIM NAPI

* 23 Jun 1994 - Halim dan rakan sepasukannya, Zahasmi Ismail dikenakan penggantungan sehingga akhir musim selepas didapati bersalah menyerang pemain tengah Selangor, Zsolt Bucs, ketika pertemuan Selangordan Kelantan dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Merdeka pada 18 Jun 1994

* 8 Ogos 1997 - Digantung seumur hidup oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana menyerang pengadil, S Selaarajan pada pertemuan Kelantan- Perak di Ipoh pada 5 Ogos 1997.

* 28 Ogos 1997 - Jawatankuasa Rayuan FAM mengurangkan hukuman terhadap Halim kepada penggantungan setahun selain denda RM3,000

* 23 Februari 1998 - Persatuan Bola sepak Kelantan mengemukakan rayuan pada Mesyuarat Kongres FAM untuk Halim menerima pembebasan awal dan rayuan itu berjaya apabila dia kembali beraksi pada 1 Jun 1998.

* 5 Jun 2007- Halim menyaman Kafa atas dakwaan Kafa gagal memenuhi terma dan syarat kontrak yang ditandatangani 17 November 2006 hingga 31 Oktober 2007.

* 2008 - Tidak beraksi dalam saingan Liga M.

* Januari 2009 - dipanggil menyertai semula skuad Kelantan oleh jurulatih, Peter Butler.

* 12 Mac 2009 - Halim dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda RM1,000 kerana mengasari pemain lawan pada pertemuan Liga Super dengan Selangor di Stadium Shah Alam 28 Februari lalu

* 7 April 2009 - Halim menyerang pemain Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abdul Radzak selepas pertemuan separuh akhir pertama Piala FA di Sultan Muhd ke-IV

Bubur Lambuk Segera



Bahan-Bahan:
Beras 1 pot
secubit halba
segenggam udang kering
garam secukup rasa
daun kunyit
bawang putih hiris
lobak merah potong dadu (jika rajin dan suka)

bawang goreng (jika suka)
secubit serbuk lada putih
santan
daun sup
Cara:
-masukkan beras, bawang, udang kering, haba, daun kunyit, lobak merah ke dalam periuk yang berisi air dan rebus sehingga mendidih
- masukkan santan, bawang goreng, serbuk lada putih, daun sup
-masak dalam lima minit, tutup api.
Cadangan Hidangan:
-taburkan cili merah hiris
Tambahan:
-terlalu senang untuk di masak.
-cuba yang original resepi dan kemudian boleh banding kelainan rasa untuk tambahan-tambahan lain
-jika suka boleh tambah ayam atau daging hiris atau kedua-duanya sekali
- boleh juga dimasukkan kacang peas untuk kelainan rasa
-sekiranya ada kuah sup lebihan makan sebelumnya, cuma tambah sahaja bahan-bahan dan tambah air jika perlu untuk rasa yang berbeza

resepi: laksa




Bahan-Bahan:
250 gm mee laksa (dicelur & ditoskan)
1,35 santan cair
250 gm ikan tenggri cabut tulang
250 gm ikan parang cabut tulang
santan pekat
Garam secukup rasa

Bahan Tabur:
250 gm taugeh (dibuang ekornya & dicelur)
2 labu besar bawang besar (dihiris tipis)
2 biji sedang timun (dibuang kulitnya & empulurnya; dihiris tipis)
60 gm daun kemangi
90 gm daun selasih
30 gm daun kesum
10 batang lada kering (direndam digiling untuk dijadikan pes
1 sudu garam
Bahan Giling:
2 batang serai (dihiris halus)
2 ulas bawang putih
12 batang lada kering (direndam & ditoskan)
2.5 cm lengkuas
10 ulas bawang merah
1 sudu lada hitam
2.5 kunyit hidup
¼ biji kelapa (diparut)
¼ biji kelapa (diparut & direndang)
2 cawan ketumbar (direndang)
Cara:
Canpurkan bahan giling ke dalam santan cair. Giling kedua-dua jenis ikan tadi &b campurkan.Rebuslah selama 30 minit. Kemudian kecil api & didihkan perlahan-lahan selama 30 minit. Kacau selalu. Masukkan santan pekat & garam.Masaklah dengan berkacau-kacaiu hingga pekat. Kecilkan api Tutup periuk itu & biarkan.
Untuk menghidangkannya: Letakkan sedikit mee laksa dalam mangkuk-mangkuk yang berasingan.Campurkan sedikit bahan tabur di atasnya. Tuangkan kuah di atasnya & hidangkan dengan segera.
Cadangan Hidangan:
untuk 4-6 orang