Protes cara Maya
![]() Maya Karin |
Pemenang Pelakon Wanita Popular ABPBH 2008 gembira projek impian jadi kenyataan
TIGA tahun lalu iaitu sebelum diberi kepercayaan untuk menyandang gelaran Duta Alam Sekitar, pelakon, penyanyi dan model jelita, Maya Karin pernah memasang angan-angan untuk menganjurkan sebuah program iaitu kempen Anti Beg Plastik sebagai tanda protes terhadap aktiviti yang mampu menjejaskan kualiti alam sekitar.
Namun disebabkan kesibukannya, hasrat murni itu terpaksa ditangguhkan seketika bagi memberi laluan kepada Maya untuk terus fokus kepada bidang seni yang amat dicintainya itu. Pun begitu, jauh di sudut hati, Maya percaya bahawa suatu hari nanti apa yang dihajati bakal menjadi kenyataan.
Doa serta harapan Maya itu akhirnya dijawab Tuhan apabila kempen Anti Beg Plastik yang diusahakannya sejak beberapa bulan lalu membuahkan hasil dengan berlangsungnya sebuah acara yang cukup meriah di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pagi Sabtu lalu.
Biar sang suria tegak di atas kepala, biar peluh membasahi wajah jelitanya namun bagi ‘pontianak jelita’ ini tidak ada perkara yang lebih menggembirakan selain melihat program yang dihasilkan atas inisiatif dirinya bersama pengurusnya, Azlin Abas berlangsung dengan jayanya.
"Sudah lama saya impikan untuk menganjurkan kempen ini iaitu sejak tiga tahun lalu namun baru hari ini segala yang saya cita-citakan itu dimakbulkan Tuhan. Bayangkan dalam masa yang singkat, kami terpaksa menguruskan pelbagai perkara yang berkaitan untuk menjayakan acara ini.
![]() |
| MAYA sempat beramah mesra bersama pelajar yang terbabit kempen Antibeg Plastik. |
"Selain kekurangan tenaga kerja, pelbagai dugaan terpaksa kami berdua tempuhi. Sebagai contoh pada awalnya, kami bercadang untuk mengundang sekolah rendah di Kuala Lumpur, namun disebabkan tidak mendapat sokongan maka kami menukarnya kepada sekolah rendah di kawasan Selangor.
'Mujurlah tiga sekolah ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Selangor (Subang Jaya), SK Tun Hussien Onn 2 (Cheras) dan SK Taming Jaya (Seri kembangan) bersetuju untuk terbabit dalam acara ini. Sokongan yang ditunjukkan oleh keseluruhan 4,000 murid ini amat saya hargai," ujar Maya ketika ditemui pada sidang media.
Penat membuat persediaan untuk acara yang julung kali diadakan itu bagaikan tidak terasa buat Maya sebaik saja melihat sambutan yang ditunjukkan murid serta kakitangan tiga sekolah berkenaan.
"Sebagai tugasan untuk menjayakan kempen ini, pelajar perlulah mengumpulkan beg plastik dan setiap mereka membentuk plastik berkenaan menjadi sebiji bola besar. Sepanjang tiga minggu membuat persediaan, saya perlu berulang alik ke sekolah dan saya bangga melihat betapa seriusnya pelajar berkenaan mengumpulkan plastik semata-mata untuk menjayakan kempen ini.
"Secara tidak langsung, usaha itu diharap dapat memberi kesedaran kepada mereka, keluarga dan masyarakat umum bahawa betapa bahan plastik sebenarnya membawa mudarat kepada alam sekitar sekali gus mengancam hidupan lain yang ada di dunia ini," tegas Maya yang bakal muncul dengan filem terbaru berjudul Pisau Cukur ini.
Mungkin ada yang skeptikal dengan usaha pelakon yang baru saja memenangi anugerah Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 ini dan menganggapnya ia sebagai gimik semata-mata. Bagaimanapun pendapat nakal itu segera disangkal Maya sambil menekankan bahawa gaya hidup yang cintakan bumi sudah lama dipraktikkan sejak belum bergelar artis lagi.
"Jika saya keluar membeli belah, saya akan membawa beg sendiri. Malah, di rumah saya sendiri penggunaan beg plastik agak kurang. Dan kalau saya memandu, saya lebih senang memandu dengan perlahan bagi mengurangkan penggunaan minyak yang banyak.
"Bukan saya saja yang mengamalkan cara hidup sebegitu tetapi suami saya juga. Cuma kalau hendak dibandingkan, orang Jerman lebih dulu mempraktikkan gaya hidup seperti ini berbanding orang Inggeris seperti dia.
"Cuma kadang-kadang ada juga yang dia tak ikut membuatkan saya terpaksa berleter," seloroh Maya sambil menekankan bahawa betapa pentingnya rakyat Malaysia didedahkan dengan amalan mengasingkan sampah mengikut kategori, plastik, kaca dan kertas.
Program yang berlangsung sejak jam 8 pagi itu berjaya mengumpulkan plastik seberat 100 kilogram yang panjangnya menyamai hampir 7.5 kilometer sebelum dibawa ke pusat pelupusan sampah.
Kembali rakam album
SEBELUM ini dia pernah menghasilkan dua buah album iaitu Erti Cinta dan Bukan Qalamaya. Dan selepas itu, Maya bagaikan merajuk apabila dia lebih banyak menumpukan perhatian terhadap bidang lakonan.
Pun begitu, menurut Maya kehilangannya dalam dunia nyanyian bukanlah disebabkan merajuk tetapi disebabkan tawaran yang mencurah-curah yang diterimanya dalam dunia lakonan ditambah ditawarkan watak yang amat diidamkan membuatkan dia tidak dapat menolak untuk terus aktif di layar perak dan layar kaca.
Hanya selepas bernaung di bawah syarikat Satu Entertainment Sdn Bhd barulah Maya rasakan sudah tiba masanya untuk dia kembali mengasah suara dan menjenguk kembali ruang lingkup seni yang ditinggalkannya suatu waktu dulu.
"Selepas program kempen ini tamat, saya akan pergi bercuti. Dan selepas itu barulah saya kembali masuk studio untuk merakamkan suara. Tak sabar untuk merakamkan lagu bersama Audi Mok yang juga penerbit untuk album ini," ujar Maya dalam nada teruja.
Bakal kembali kepada konsep pop, Maya mengharapkan peminat setianya akan sabar menunggu kehadiran album ketiganya ini. Mengenai tawaran berlakon, duta Nescafe ini berkata dia masih menerimanya.
"Bagaimanapun kebanyakan produksi terbabit terpaksa menangguhkan penggambaran atas alasan kegawatan dan sebagainya. Jadi saya terpaksa menunggu," ungkap Maya sambil mengukir segaris senyuman manis.






